Hantu-hantu yang terdapat di malaysia tetapi jarang...

Gambar hiasan.

Dalam masyarakat Melayu dan orang asli istilah hantu, semangat, jembalang atau penunggu telah ada sejak zaman animisme lagi.

Ketika itu, semua benda besar seperti pokok atau batu yang besar dianggap didiami "penunggu" atau tunggu yang perlu dihormati dengan baik. Ini dilakukan agar penunggu tersebut tidak mengamuk dan membahayakan penduduk sekitar.

Malah, jamuan makanan atau acak disediakan oleh seseorang yang berpengalaman yang dikenali sebagai Dukun, Pawang, Tok Bathin bagi memastikan penunggu tersebut pula membantu penduduk daripada serangan wabak penyakit dan musuh tanaman.

Amalan ini masih kekal di kalangan penduduk asli yang masih mengamalkan kepercayaan animisme.

Antara jenis-jenis hantu ini ialah:

1. Pontianak, Puntianak, Kuntilanak


Puntianak atau lebih popular dieja sebagai pontianak, dipercayai oleh masyarakat Melayu bahawa ia berasal daripada perempuan yang mati ketika mengandungkan anaknya.

Terdapat juga pendapat menyatakan bahawa ia merupakan jin (hantu) liar yang bertindak mengganggu manusia.

2. Polong

Hantu Polong merujuk kepada semangat atau makhluk halus belaan yang dipelihara oleh seseorang, biasanya lelaki, bertujuan untuk tujuan memudaratkan musuh.

Hantu polong dipercayai diberi makan darah dari jari tuannya.

Menurut kepercayaan orang Melayu, polong dihasilkan dengan meletak darah orang yang mati dibunuh kedalam botol bermulut panjang.

Botol tersebut kemudiannya akan dipuja dan jampi serapah akan dibacakan dalam tempoh masa tertentu. Selepas tujuh hingga dua minggu akan kedengaran bunyi mengerit daripada dalam botol.

Pemuja polong perlu menghiris sedikit jarinya dan memasukkan jarinya yang berdarah itu ke dalam botol untuk memberi polong makan.

Dengan memberi makan, polong ini akan terikat kepada tuannya dan akan melakukan apa sahaja suruhan tuannya.

Polong biasanya akan disimpan di dalam botol dan hanya dikeluarkan apabila hendak memusnahkan musuh. Mangsa polong biasanya boleh dikenali dengan kesan lebam pada mayat dan darah keluar melalui mulut.

3. Toyol


Toyol merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin, syaitan, yang dipelihara bagi tujuan mencuri.

Toyol ini dikatakan berbentuk kanak-kanak kecil dan turut mempunyai perangai seperti kanak-kanak kecil. Pemeliharaan makhluk halus ini dikenali sebagai saka.

Toyol biasanya dipelihara dengan tujuan membantu pemiliknya mendapatkan duit dengan mencuri daripada jiran-tetangga.

Toyol mampu menyelip dalam mana-mana bilik berkunci dan mampu mencari wang tunai yang disorokkan di mana sahaja, kononnya termasuk yang disorok dicelah kitab suci.

Pemelihara toyol biasanya akan membeli atau memuja untuk mendapatkan toyol. Toyol yang dipelihara, dipercayai secara umum sebagai mempunyai bentuk seorang budak kecil berbogel, dengan mata yang merah dan gigi yang tajam.

Kononnya, toyol akan dipelihara dalam sebuah botol kecil dan pemiliknya akan memberikannya makan darahnya sendiri setiap hari, setiap bulan mengambang. Sekiranya gagal, toyol akan menghisap darah ahli keluarga terdekat pemiliknya.

Toyol juga tidak akan mencuri keseluruhan jumlah wang, tetapi sekadar mengambil sebahagian daripada wang yang tersimpan. Mungkin kerana kata orang tua-tua yang mengatakan bahawa "budak-budak jangan pegang duit banyak banyak".

Pemilik toyol juga perlu memenuhi apa sahaja permintaan toyol peliharaannya, sekiranya gagal, toyol tersebut akan bertindak ganas.

4. Pelesit

Pelesit merujuk kepada sejenis makhluk halus, menurut kepercayan melayu ianya hantu yang dipelihara bagi tujuan sebagai pelaris dan pemanis.

Hantu ini dikatakan secara cerita lisan bahawa sangat berusaha menjadikan tuannya disukai ramai.

Ia dinamakan pelesit kerana ia melesetkan (menyesatkan) melalui tujuan melaris diri.

5. Hantu Air, Hantu Laut


Hantu air (juga termasuk Hantu laut) merupakan sejenis makhluk halus digelar mambang atau jin yang terdapat di dalam kawasan berair. Makhluk ini dianggap agak keras dan mampu membahayakan mereka yang bertembung dengannya.

Kebiasaannya ia dikatakan terapung-apung seperti batang kayu buruk, tetapi mampu melumpuhkan mereka yang tersentuh dengannya.

Selain itu, ia dikatakan mampu menjelma untuk mengusik mereka yang berada di pinggir air.

Dipercayai bahawa hantu air berasal daripada ilmu dan makhluk halus yang dibuang, dihanyutkan melalui sungai mengalir ke laut dengan menggunakan acak.

Air laut yang berkilauan dikatakan menunjukkan kehadirannya dan bagi menggelakkan gangguan bagi para nelayan dari hantu air (laut), satu upacara yang dikenali sebagai semah laut akan diadakan setiap tahun.

Upacara ini juga dikenali sebagai puja pantai, main pantai.

6. Hantu Raya

Hantu Raya biasanya dipelihara bagi tujuan membantu tuannya melakukan kerja-kerja berat, juga boleh disuruh membinasa musuh atau orang yang dibenci pemiliknya.

Dinamakan Hantu Raya bersempena saiznya yang besar seperti penggunaan dalam bahasa Melayu Balairaya, jalanraya dan sebagainya.

Hantu Raya biasanya mampu melakukan kerja-kerja berat seperti empat atau lima orang dengan mudah dan ia boleh menjelma sebagai manusia.

7. Hantu Bungkus, Pocong, Hantu Punjut

Hantu bungkus atau juga dikenali sebagai hantu punjut atau hantu pocong merujuk kepada sejenis makhluk yang berbentuk seperti mayat yang dibungkus dengan kain kafan.

Hantu bungkus sering dikatakan mengusik orang yang lemah semangat, dan akan bergerak dengan meloncat seperti hantu Cina, atau bergolek. Ia dikatakan mampu bergerak sepantas kereta, bergerak seiring dengan kereta yang dipandu oleh mangsa usikan mereka.

Hantu bungkus tidak dipelihara dan terdapat secara bebas. Kemungkinan hantu bungkus adalah jelmaan jin yang menganggu manusia.

Mereka yang berani menangkap hantu bungkus dikatakan mampu mendapat kekayaan yang banyak kerana dikatakan, dalam bungkusan tersebut terdapat wang yang banyak.

8. Langsuir

Langsuir adalah sejenis makhluk halus penghisap darah dalam kepercayaan masyarakat Melayu. Langsuir dipercayai akan merasuk mangsa dan menghisap darah mangsa secara perlahan-lahan sehingga mati.

Kononnya jika dipaku di belakang tengkoknya, langsuir akan berubah menjadi seorang wanita yang cantik.

9. Bota


Bota ialah sejenis gergasi besar yang hidup dalam tanah, menyembunyikan diri dalam gua di dalam tanah. Bota akan keluar daripada tempat persembunyian pada ketika-ketika tertentu sahaja dan amat meminati kanak-kanak yang tidak memakai seluar.

10. Bajang


Bajang merujuk kepada sejenis makhluk halus, kemungkinannya dari golongan jin, shaitan, yang dipelihara bagi tujuan memudaratkan musuh. Pemeliharaan makhluk halus ini dikenali sebagai saka.

Bajang merupakan makhluk setan yang dipuja daripada mayat bayi yang mati semasa lahir.

Bajang biasanya perlu diwarisi dan sekiranya tidak diturunkan kepada waris, tuannya akan menjadi bangkai bernyawa. Tubuhnya mati dan berbau busuk, tetapi apabila hendak dikebumikan, ia akan bangkit seperti hidup.

Selain itu, ia akan makan dengan lahapnya apabila diberi makan.



Comments

Popular posts from this blog

Siapakah yang telah mengalahkan Bruce lee??Pesilat dari Malaysia atau Penyakit....

Filem tempatan yang tidak laku akibat kesalahan.....